Sembahyang Sunat Hajat, Doa Khas bagi kesihatan, kesejahteraan Kebawah DYMM




Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 16 Januari. – Selaras dengan syariat ugama Islam yang sentiasa memohon taufik dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dan sebagai kesinambungan bagi majlis keugamaan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) lewat petang tadi meneruskan pelaksanaan Sembahyang Sunat Hajat dan Doa Khas bagi kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu selepas Sembahyang Fardu Maghrib di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.


Di Daerah Brunei dan Muara, tumpuan majlis keagamaan berkenaan berlangsung di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, di sini.


Sementara itu, di Daerah Belait, tumpuan acara diadakan di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Daerah Tutong; dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong.


Terdahulu itu, di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib, disusuli dengan Sembahyang Sunat Hajat dan Doa Khas yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Awang Ahmad Syafiq bin Haji Osman.


Turut hadir bagi menunaikan Majlis Sembahyang Sunat Hajat dan Doa Khas ialah warga Perkhidmatan Awam, anggota pasukan beruniform, ahli jawatankuasa takmir dan jemaah masjid serta orang ramai.


Pelaksanaan Sembahyang Sunat Hajat dan Doa Khas bagi kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenaan diadakan selama tiga hari berturut-turut dan akan diteruskan lagi esok, Sabtu dan Ahad, 27 dan 28 Rejab 1447 Hijrah bersamaan 17 dan 18 Januari 2026 selepas Sembahyang Fardu Maghrib.


Marilah kita menunaikan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah bagi memohon kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala supaya mengurniakan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan kesembuhan yang segera, kesihatan dan keafiatan yang sempurna lagi berpanjangan.


Seterusnya, kita semua mendoakan agar Negara Brunei Darussalam terhindar daripada bala bencana dan dikurniakan dengan kemakmuran dan kesejahteraan.

Close